Wednesday, 27 April 2016

UMMI NAZEERA SELESA BERKAWAN DENGAN ZIZAN RAZAK

15:11:00


Pelakon filem Penanggal, Ummi Nazeera mengakui dirinya selesa berkawan dengan pelawak dan pengacara Zizan Razak.

Pernah digosipkan bercinta, Ummi menafikan perkara tersebut dan menganggap Zizan sebagai seorang rakan yang baik.

“Saya akui saya selesa berkawan dengan Zizan. Selepas kami berlakon dalam filem Angin Cinta, kami digosipkan bercinta. Ketika gosip itu baru sahaja diperkatakan, saya akui saya tak suka dengan gosip tersebut. Sebagai seorang perempuan, kalau boleh, saya nak elakkan diri dikaitkan dengan gosip.

“Saya ada berbincang dengan Zizan mengenai gosip itu dan dia meminta saya agar bertenang kerana perkara tersebut tidak benar. Kini, gosip itu telah berlalu pergi. Zizan sangat tenang menghadapi gosip dan dia merupakan seorang sahabat yang baik,” kata Ummi kepada Astro Gempak.

Bergandingan dengan Zizan menerusi sebuah filem televisyen yang berjudul Angin Cinta, Ummi menyifatkan Zizan sebagai seorang pelakon yang berbakat.

“Zizan pandai membawakan wataknya. Tak sukar untuk saya bekerjasama dengan Zizan. Saya pula yang risau kerana naskah ini mengangkat genre komedi romantik. Genre ini merupakan ‘makanan’ Zizan manakala saya pula selalu membawakan watak yang lebih serius,” kata Ummi lagi.

Dalam perkembangan lain, Ummi kini sedang sibuk menjalani penggambaran karya baru Astro First yang berjudul Bisik Pada Langit bergandingan bersama Jalil Hamid, Erwin Dawson, Beto Kusyairy dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Angin Cinta lakonan Ummi Nazeera, Zizan Razak, Sharonizam Noor dan ramai lagi. Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Angin Cinta disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 30 April ini dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam dari pembelian.

Sumber : AstroGempak

0 comments