Thursday, 24 March 2016

BN HILANG 1 JUTA UNDI JIKA TERUS GANGGU PENIAGA VAPE, KATA PERSATUAN

16:17:00



Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini memberi amaran kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal hilang 1 juta undi pada pilihan raya umum akan datang jika peniaga rokok elektronik atau vape, yang terdiri daripada golongan anak muda, terus berdepan tindakan pihak berkuasa.

Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah memberi amaran itu selepas membuat laporan polis terhadap menteri kesihatan, tengahari ini.
“Kita mohon kerajaan pusat pastikan anak-anak muda ini terbela. Mereka berniaga. Kenapa hendak menyusahkan mereka?
“Kalau benda ini tak selesai, kerajaan ini akan hilang 1 juta undi. Ini yang akan berlaku,” katanya di depan ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Dalam laporannya, Ridzuan menggesa polis menyiasat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam ekoran siri serbuan mengejut tanpa notis secukupnya ke atas pengusaha barangan berkaitan vape sebelum ini.
“Kami sebagai badan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan peniaga dan usahawan Bumiputera berasa amat kesal dengan tindakan Kementerian Kesihatan.
“Segala kerugian yang dialami peniaga perlu diambil tindakan dan kami memohon pihak polis membuka kertas siasatan terhadap (Dr) Subramaniam yang mengarahkan tindakan diambil terhadap peniaga vape,” laporan polis Ridzuan dipetik.

Turut mengiringi Ridzuan hari ini ialah “Raja Report Polis”, Abdul Rani Kulup Abdullah yang seperti biasa tampil seperti bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi, dengan memakai beret merah, kaca mata hitam serta uniform ala tentera berwarna hitam.

Rani adalah presiden Majlis Jalinan Muafakat Malaysia (MJMM).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya semalam mengakui tindakan kementeriannya terhadap ratusan kedai vape di seluruh negara sejak beberapa hari lalu dilihat agak terburu-buru.
Katanya, kementeriannya akan mengkaji semula tindakan penguatkuasaan ke atas kedai itu dan menasihatkan penjual menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga mereka mendapat lesen berbuat demikian.

Ini kerana, kata Dr Hilmi, mengikut Akta Racun 1952, hanya doktor dan farmasi berdaftar sahaja dibenarkan menjual nikotin dan kementerian akan terus memantau keadaan ini.

Terdahulu hari ini, bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz berkata, tabiat menghisap vape dikhuatiri akan berleluasa dan menjadi satu bentuk ketagihan baharu di kalangan golongan muda.

Menggesa Putrajaya bertindak segera, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, ia melibatkan isu kesihatan awam yang tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Kerajaan tidak seharusnya mempolitikkannya dan ‘bermain politik’ dengan isu kesihatan. Ia sama seperti bersikap tidak berhati perut tentang potensi kesan kesihatan yang negatif daripada perbuatan merokok dan vape," katanya dalam laman Facebook beliau, sambil menambah, Australia dan Singapura turut mengharamkan vape.

Pada 30 Oktober, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan Kabinet tidak mengharamkan vape.
“Berita baik untuk vapers, vapers brewers (pembancuh perisa vape) dan peniaga vape, Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mengharamkan vape. Terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang memahami aspirasi anak muda,” kata Ismail di Facebook beliau.

Bagaimanapun, hari ini, Subramaniam mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas menangani kontroversi yang timbul dari vape dan kesannya kepada pengguna.

Katanya, mulai sekarang, sebarang kenyataan mengenai e-rokok akan dikeluarkan jawatankuasa khas berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. – 8 November, 2015.

Sumber : themalaysianinsider



0 comments