Wednesday, 18 November 2015

LELAKI PERTAHAN WANITA MUSLIM DALAM TREN UK RAIH PERHATIAN

21:16:00



SEORANG lelaki di London telah menjadi sensasi menerusi Internet selepas bertindak berani mempertahankan seorang wanita Muslim di dalam sebuah tren di United Kingdom.

Lelaki yang dikenali sebagai Ashley Powys, 22 tahun; menceritakan kisah viral itu melalui laman sosial Facebook miliknya dan telah mendapat perhatian ramai netizen di sana.

Insiden terbabit berlaku ketika Ashley menaiki tren dari Oxford Circus menuju ke rumahnya di Stockwell.


Ketika dalam perjalanan menuju ke destinasinya, lelaki terbabit dikatakan duduk bertentangan dengan wanita berhijab di dalam tren itu.

Mereka berdua hanya senyum antara satu sama lain seperti orang biasa sehingga muncul seorang lelaki dari arah belakangnya menempelak wanita itu dengan bahasa yang kasar.

Jelaslah lelaki itu menunjukkan sikap Islamofobia dan anti-Islamnya terhadap wanita yang tidak bersalah itu. Dia juga dikatakan semakin agresif dengan mendekati wanita itu.

Tindakan biadab lelaki terbabit telah menarik perhatian Ashley yang berada di situ sebelum dia menolak lelaki terbabit dan menyuruhnya berundur.
“Saya duduk di sebelah wanita itu dan saya dapat melihat air matanya sudah berair kerana ketakutan. Saya tanya namanya dan wanita itu memberitahu namanya adalah Yara.
“Lelaki yang mengganas itu terus mengutuk dan menjerit ke arah Yara namun saya cuba mengalih perhatian wanita itu dengan bertanyakan khabarnya dan mengajaknya bersembang,” tulis Ashley.

Bukan itu sahaja, Ashley juga memiliki sikap prihatin dan kasih-sayang yang sangat luar biasa kerana sanggup menunggu demi memastikan keselamtan wanita itu terjamin.
“Saya cuba menjadi penghalang kepada situasi berikut supaya lelaki itu tidak dapat apa-apakan wanita berkenaan.
“Apabila tiba di destinasi yang saya tuju, saya bertanya kepadanya adakah dia mahu saya menemaninya sehingga dia turun dari tren itu? Air matanya mula mengalir kerana begitu terharu dengan sikap yang saya tunjukkan.
“Bagi saya ia adalah sifat semula jadi seorang manusia, saya hanya nampak seseorang memerlukan bantuan saya,” tambahnya.

Sifat yang ditunjukkan oleh Ashley itu sememangnya patut dipuji kerana dia sanggup menunggu dan menghantar wanita itu ke pangkuan seseorang yang lebih terjamin keselamatannya sebelum pulang ke rumah.

Lelaki budiman itu juga menyeru orang ramai untuk menangkis sifat Islamofobia serta anti-Islam susulan keganasan yang ditunjukkan oleh kumpulan militan IS yang menyerang Paris baru-baru ini.

Dia juga menggesa seluruh masyarakat untuk bersatu dan bangkit menentang pengganas berbanding berbalah sesama sendiri.

Kisah yang dikongsikan oleh Ashley itu telah mendapat perhatian pengguna laman itu dan statusnya itu setakat ini telah dikongsi lebih 8 ribu pengguna.

Sumber : mynewshub

VIDEO : Commuter's moving account of how he defended a young Muslim woman from a thug...



0 comments