Friday, 13 November 2015

IBU LUPUS MAYAT ANAK LELAKI DIPENJARA 24 BULAN

16:01:00

KUALA LUMPUR – Perbuatan kejam seorang ibu yang melupuskan mayat anak lelakinya dengan cara menanam mayat itu di bawah lantai dapur rumahnya, dibalas dengan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Asyida Abd Rahim@Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Boa Jia, 33, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini.

Sebelum ini, Tan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.



Mahkamah memerintahkan wanita itu yang juga suri rumah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Mei lepas.

Tan yang memakai kemeja T berwarna pic dan seluar lokap ungu menangis teresak-esak di kandang tertuduh ketika jurubahasa mahkamah menunjukkan gambar mayat anaknya untuk pengecaman.

Dia kemudian mengangguk selepas mengecam gambar mayat anaknya itu.

Wanita itu didakwa melupuskan mayat Loo Yong Shen Evan, 9, dengan cara menanamnya dengan niat untuk melindungi suaminya Loo Chon Wen, 33, daripada pertuduhan membunuh di rumah No. 26, Jalan 10, Taman Usaha Jaya, Kepong di sini pada 2 petang 29 Mac lepas.

Tan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda manakala suaminya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Kitson Foong yang mewakili Tan, memohon hukuman penjara ringan atas alasan anak guamnya sangat menyesal atas perbuatannya itu selain turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.

“Dia mengalami penderaan fizikal dan emosi yang berpanjangan selama 10 tahun. Dia dipukul hampir setiap hari dan suaminya membuatnya percaya bahawa dia dan anak-anaknya dipukul kerana kesalahan mereka.
“Dia juga mangsa dera fizikal dan emosi. Dia kesal dan insaf (dengan perbuatan itu). Dia kesal kerana kehilangan anak keduanya dan tidak boleh memberitahu sesiapa pun kerana terlalu takut. Dia amat sedih,” katanya.

Foong berkata anak perempuan tertuduh yang berusia 10 tahun dan anak lelakinya yang berumur tujuh tahun kini dijaga abang dan ibunya di Tawau, Sabah.

Tertuduh juga berharap diberi peluang kedua untuk kembali ke pangkuan keluarganya selepas menjalani hukuman penjara itu, katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil pula memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain tertuduh merupakan ibu mangsa.

Di luar mahkamah, Foong memberitahu Tan akan menjadi saksi penting pendakwaan terhadap kes suaminya selain dia juga diwakili peguam Vivian Thien.

Pada 4 Sept, mahkamah itu memindahkan kes suaminya yang didakwa membunuh anak mereka pada masa dan tempat sama, ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sumber : Bernama

VIDEO : Penduduk sekitar trauma selepas kes pembunuhan kejam






0 comments